My Add

Sunday 22 June 2014

GST bolehkan kerajaan berbelanja lebih untuk rakyat

MELAKA, SABTU 21 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertambahan hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membolehkan kerajaan berbelanja lebih untuk rakyat.

Perdana Menteri menegaskan melalui pertambahan hasil daripada GST, ia akan disalurkan kepada rakyat untuk menikmatinya di samping bagi mengelak negara menghadapi krisis ekonomi yang serius.

Menurutnya, tujuan GST diperkenalkan oleh kerajaan bukan ingin membebankan rakyat sebaliknya bertujuan untuk memperkukuhkan hasil pendapatan negara agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Kalau Presiden CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam) ingin minta kepada kerajaan untuk tambah elaun penjawat awam, saya sebagai Menteri Kewangan perlu cari hasil tambahan.

"Bila hasil lebih, kita sedia tunaikan sebarang permintaan CUEPACS khususnya untuk kenaikan elaun kerana hanya melalui pelaksanaan GST, kerajaan mampu memperoleh pertambahan hasil,’’ katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2014 bertemakan ‘Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh yang dihadiri kira-kira 12,000 pekerja sektor awam dan swasta di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC); Presiden CUEPACS, Azih Muda dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MIEF), Tan Sri Azman Shah Haron.

Najib menegaskan, kerajaan tidak sama sekali akan meminjam wang daripada institusi kewangan luar negara seperti Bank Dunia untuk membayar gaji penjawat awam kerana itu akan membawa bencana kepada ekonomi negara.

Justeru beliau berkata, jika ada fahaman yang mengatakan pelaksanaan GST akan membebankan rakyat, kenyataan tersebut disifatkan tidak benar sama sekali.

"Tujuan kita perkenalkan GST adalah untuk memperkukuhkan hasil negara dan bila ada hasil negara bertambah kita boleh berbelanja lebih untuk rakyat,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu faham bahawa bukan semua barangan atau perkhidmatan akan dikenakan cukai sebaliknya hanya barangan perkhidmatan asas dikecualikan daripada sebarang GST.

Dalam pada itu beliau menambah, pelaksanaan GST dilihat lebih efisien dan lebih telus khususnya kepada para peniaga yang sering tidak membayar cukai.

"Adalah tidak adil rakyat bayar cukai tetapi peniaga yang untung berlipat ganda akan terlepas begitu sahaja dan melalui pelaksanaan GST mereka tidak terkecuali,’’ katanya.

GST diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lalu dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.

Menurutnya, kerajaan berada di landasan betul kerana memperkenalkan pelaksanaan GST yang telah dilihat berhasil dilaksanakan di 160 buah negara luar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment