My Add

Monday 23 June 2014

Jangan persoalkan Malaysia sebagai negara Islam

Darupada Saharuddin Musthafa

 * ASRAF Wajdi Dusuki (barisan depan, tujuh dari kanan) dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba (lima dari kiri) bergambar bersama peserta Seminar Malaysia Ke Arah Transformasi 2014 anjuran Yadim di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia.
JAKARTA, AHAD 22 Jun, 2014: Tidak ada sebab kenapa kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu dipersoalkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda licik dan berniat jahat terhadap kestabilan yang dicapai negara sejak berdekad-dekad lamanya.

Menurut Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ini adalah kerana dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengisytiharkan Islam merupakan agama Persekutuan.

Bahkan, perlembagaan juga tegas Dr. Asyraf, tidak menafikan hak agama-agama lain sehinggakan penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian turut diberi ruang untuk mengamalkan fahaman agama mereka.

Berbeza dengan sesebuah negara sekular, beliau berkata, Malaysia tidak dibangunkan atas doktrin agama dipisahkan terus daripada urusan politik dan pentadbiran negara.

"Di Malaysia, prasarana Islam dibangunkan dengan menggunakan dana negara. Kalau Malaysia sebuah negara sekular, tentu sekali kita tidak boleh sesekali menggunakan dana negara untuk sebarang program agama Islam," kata Dr. Asyraf kepada wartawan, di sini hari ini.

Beliau berada di sini untuk membentangkan kertas kerja Pendekatan Wasatiyyah dan Maqasid al-Syariah Dalam Transformasi Ekonomi di Malaysia sempena Seminar Malaysia Ke Arah Transformasi 2014 anjuran Yadim di Kedutaan Besar Malaysia.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Dengan memberi contoh usaha kerajaan membangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bank Islam dan lain-lain menggunakan dana negara, beliau berkata, usaha-usaha berkenaan merupakan manifestasi kedudukan istimewa Islam dalam negara.

"Semua ini dapat dilaksanakan menggunakan dana-dana kerajaan kerana hakikatnya negara ini meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi dalam Perlembagaan Negara.

"Mana mungkin sebuah negara yang ditakrifkan sebagai sekular boleh melaksanakan pelbagai dasar dan program berkaitan agama, apatah lagi menggunakan dana-dana negara bagi tujuan mengembangkan Islam," kata beliau.

Justeru, apabila ada provokasi daripada parti politik pembangkang mengenai persoalan kedudukan Malaysia itu jelas Dr. Asyraf, ia merupakan terjemahan rasa kurang senang pihak yang mempunyai kepentingan agenda politik.

Pada masa sama, beliau mengajak seluruh umat Islam supaya kembali merapatkan saf bagi sama-sama membangunkan Islam dan tidak terperangkap dalam polemik yang sengaja dicetuskan itu.

Beliau yang kesal dengan sikap segelintir umat Islam yang khayal dan leka dengan teriakan provokasi bahawa Malaysia sebuah negara sekular menyifatkan golongan berkenaan sebagai petualang negara.

"Golongan ini hanya mengikut rentak politikus pembangkang tanpa mahu memahami apa yang sudah termaktub dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

"Bahkan, mereka juga tidak cuba untuk memahami apakah selama ini berlaku diskriminasi agama sehingga kedudukan Malaysia mahu dipersoalkan lagi," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment