My Add

Monday 23 June 2014

Penduduk Flat Taman Semarak terkejut

SEREMBAN, AHAD 22 Jun, 2014: Rata-rata penduduk Flat Taman Semarak, Nilai, dekat sini, terkejut apabila mengetahui kisah menyayat hati yang menimpa seorang remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Flat Taman Semarak, Abdul Razak Nasir, 58, berkata, berdasarkan maklumat penduduk, kisah remaja malang itu tidak diketahui kerana ibu mangsa tidak pernah bergaul dengan penduduk setempat.

Malah, menurutnya wanita itu tidak pernah menceritakan masalah dihadapinya dengan jiran selain kelibatnya hanya dapat dilihat pada awal pagi dan lewat malam setiap hari.

"Ibu mangsa hanya kelihatan ketika pergi dan pulang dari tempat kerja. Kami langsung tidak mengetahui ada remaja OKU tinggal di flat ini yang dibiarkan dalam keadaan daif.

"Saya percaya jika ibu remaja itu menceritakan masalah dihadapinya kepada jiran, pasti badan kebajikan di flat ini akan berusaha membantu mencari jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati ibu remaja berkenaan berasal dari Sabah dan telah bercerai dengan bapa mangsa sebelum sekali lagi mendirikan rumah tangga.

Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah tersebut hari ini mendapati kediaman tersebut tidak berpenghuni selain jiran-jiran bersebelahannya merupakan warga asing yang bekerja di kawasan berdekatan.

Penduduk yang enggan dikenali mendakwa pernah melihat remaja tersebut dibawa oleh ibunya di sekitar flat berkenaan ketika usianya antara lima hingga tujuh tahun.

Namun, katanya, sejak beberapa tahun lalu, remaja itu tidak lagi kelihatan sehinggalah kisah mengenai mangsa disiarkan di dalam akhbar hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment