My Add

Monday, 2 June 2014

Johari didesak letak jawatan Pengerusi JPP

SUNGAI PETANI, AHAD 01 Jun, 2014: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul didesak supaya meletakkan jawatan kerana gagal memastikan proses pemilihan semula jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani dijalankan dalam keadaan adil dan telus.

Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Sungai Petani, Ishak Man mendakwa konspirasi yang berlaku semasa pemilihan semula jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani lebih teruk daripada apa yang berlaku di dalam parti-parti lain di negara ini.

"Saya desak Johari letak jawatan sebagai Pengerusi JPP, lebih baik dia (Johari) balik dan jaga Cabang Sungai Petani sahaja.

"Kami sebagai orang lama tidak boleh terima apa yang berlaku di dalam proses pemilihan Ketua AMK Cabang Sungai Petani hari ini.

"Kami percaya kemungkinan besar ada agenda pihak tertentu yang tidak mahu melihat seorang calon Ketua AMK Cabang Sungai Petani iaitu Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim menang dalam pertandingan ini," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah di sini hari ini.

Dalam pemilihan semula jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani hari ini, tiga calon layak bertanding iaitu Simon Ooi, S. Arvind Kumar dan Mohd. Sharmizi.

Namun sekali lagi proses tersebut kecoh apabila salah seorang calon bagi jawatan itu meminta proses pemilihan yang berlangsung hari ini dibatalkan.

Mohd. Sharmizi Nizam berkata, dia tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatan itu hari ini kerana JPP tidak memaklumkan kepadanya bahawa dia layak untuk bertanding bagi jawatan itu.

Sebelum ini pada 3 Mei lalu, proses pemilihan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang berlangsung di Taman Seri Wang ditangguhkan dan dilakukan semula hari ini di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah di sini kerana seorang calon S. Arvind Kumar mengemukakan bantahan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment