My Add

Monday, 2 June 2014

Pemilihan PKR kecoh lagi

Oleh SAFINA RAMLI

 * BEKAS Timbalan Ketua PKR Cabang Sungai Petani, Ishak Man (tengah), Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim (kanan) dan bekas Ketua Penerangan AMK Kedah, Mohd. Zaidi Osman menunjukkan borang bantahan bagi proses pemilihan Ketua AMK di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
SUNGAI PETANI, AHAD 01 Jun, 2014: Pro­ses pemilihan bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani sekali lagi kecoh apabila salah seorang calon bagi jawatan itu meminta proses pemilihan yang berlangsung hari ini dibatalkan.

Calon tersebut, Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim berkata, dia tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatan itu hari ini kerana Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak memaklumkan kepadanya bahawa dia layak untuk bertanding bagi jawatan tersebut walaupun sebelum ini dikatakan sebaliknya.

"Sebelum ini, pada 3 Mei lalu ketika proses pemilihan berlangsung di Taman Sri Wang, saya dimaklumkan bahawa saya tidak layak bertanding kerana masalah teknikal dan saya terima keputusan tersebut.

"Saya juga telah menghantar bantahan kepada JPP berhubung penolakan pencalonan saya pada pemilihan 3 Mei lalu namun tiada apa-apa jawapan daripada mereka.

"Tiba-tiba hari ini nama saya layak untuk bertanding tanpa pengetahuan saya dan saya tuntut proses pemilihan hari ini dibatalkan serta diadakan semula," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna di Taman Sejati Indah di sini hari ini.

Pada 3 Mei lalu, proses pemilihan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang berlangsung di Taman Seri Wang ditangguhkan dan dilakukan semula hari ini di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah di sini kerana seorang calon S. Arvind Kumar mengemukakan bantahan.

Bantahan itu kerana Arvind Kumar mendakwa dia hanya mengetahui namanya tiada di dalam kertas undi bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani kira-kira pukul 11 pagi apabila tiba di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Wang di sini.

Dalam pemilihan hari ini tiga calon layak bertanding iaitu Simon Ooi, S. Arvind Kumar dan Mohd. Sharmizi.

Menurut Mohd. Sharmizi, selepas namanya dikatakan tidak layak untuk bertanding kerana masalah teknikal dia telah membantu kempen seorang calon lain iaitu Arvind Kumar.

"Saya langsung tidak berkempen untuk diri sendiri bagi merebut jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani ini sebab saya tidak fikir saya akan bertanding semula hari ini.

"Saya hanya mengetahui pagi ini melalui seorang rakan bahawa nama saya ada di dalam kertas undi.

"Saya sangat kecewa dengan proses pemilihan hari ini dan tidak akan mengiktiraf Ketua AMK Cabang Sungai Petani jika JPP tidak menangguhkan proses pemilihan ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengawas Pemilih Sungai Petani, Zainal Abidin Samat berkata, dia akan mengemukakan bantahan yang dibuat oleh Mohd. Sharmizi itu kepada JPP.

"Proses pemilihan yang berlangsung hari ini diteruskan kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses ini kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa JPP," jelasnya.

Sementara itu, proses pengundian bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang bermula pukul 10 pagi ditutup kira-kira pukul 5 petang ini.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi untuk memilih jawatan itu ialah 62 orang dan Simon Ooi mendapat 52 undi manakala Arvind Kumar pula tujuh undi.

Simon ketika ditemui berkata, kekecohan yang ditimbulkan oleh Mohd. Sharmizi tidak sepatutnya berlaku kerana JPP telah mengumumkan mengenai pemilihan semula yang akan dijalankan hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment