My Add

Sunday 1 June 2014

Kerajaan mungkin kaji kadar margin komisen pengusaha stesen minyak

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula kadar margin komisen yang dikenakan kepada pengusaha stesen minyak sekiranya itu dapat membantu mengekang kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kajian kadar margin itu akan diketengahkan jika wujud faktor munasabah yang menjadi punca kegiatan penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.

“Itu cadangan mereka dan kita akan kaji sekiranya boleh membendung daripada isu penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi ke luar," katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Franchise International Malaysia (FIM) 2014 di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas cadangan Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM) supaya kerajaan menstrukturkan semula kadar margin komisen pengusaha stesen minyak untuk produk diesel dan petrol yang disifatkan mereka terlalu rendah selepas mengambil kira lapan tahun tiada pembaharuan.

Langkah itu menurut Bendahari Kehormat PDAM, Datuk Mazlin Zani perlu bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan penyelewengan diesel yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) semalam turut mendesak kerajaan supaya segera mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi diesel bersubsidi bagi mencari titik noktah terhadap kegiatan penyeludupan bahan api itu yang kini berleluasa.

Mazlin dalam pada itu berkata, kerajaan perlu turun ke peringkat akar umbi jika mahu membanteras penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi di semua peringkat.

“PDAM menghargai usaha kerajaan dalam hal ini, namun perkara ini tidak boleh hanya ada satu bahagian sahaja yang menang. Kerajaan juga perlu melihat semula tanggungan cukai yang dikenakan terhadap pengusaha stesen minyak," katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah (Pencegah), S.R Jeevan berkata, mekanisme pengagihan subsidi diesel seharusnya dilaksanakan oleh golongan yang mempunyai kredibiliti tinggi dalam bidang berkaitan.

Katanya, golongan pelaksana itu perlu mempunyai pengalaman luas dan dipercayai dapat melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment