My Add

Sunday 1 June 2014

Rasuah diesel subsdidi di laut, menggerunkan

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Jika di daratan terdapat anggota agensi penguat kuasa menerima rasuah satu sen bagi setiap satu liter diesel bersubsidi yang diselewengkan dan gejala sama turut berlaku di kawasan perairan negara dengan tawaran sogokan mencecah RM200,000 bagi melindungi sindiket penyelewe­ngan bahan bakar itu.

Malahan sumber mendedahkan satu maklumat yang mengejutkan apabila seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa ditawarkan sejumlah RM1.8 juta oleh tekong dan pemilik kapal nelayan asing dalam keseluruhan lapan kes penangkapan dilakukan pasukannya.

Sogokan itu adalah bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan sebagai habuan supaya dilepaskan setelah ditahan kerana menangkap ikan secara haram atau menjalankan aktiviti menyeludup diesel bersubsidi.

Menurut sumber itu, jabatan dan agensi penguat kuasa di perairan negara mudah terdedah kepada rasuah kerana kawasan berkenaan diibatkan lubuk emas terutama kepada nelayan dan syarikat kapal dagang asing.

“Jumlah rasuah yang ditawarkan bergantung kepada kes atau ‘bantuan’ diperlukan oleh sindiket bermula dari pelabuhan sehingga tengah laut antara RM500 hingga RM200,000," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sejak 10 Mei lalu, akhbar ini telah mendedahkan bagaimana penyelewengan diesel bersubsidi ber­ada di tahap serius sehingga meng­akibatkan kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Berdasarkan satu maklumat yang diterima, daripada sejumlah 8.5 bi­lion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan aki­bat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui ?cara gelap. Statistik ini menunjukkan hanya 5 bilion liter digunakan secara betul atau dimanfaatkan.

Menurut sumber itu, perbuatan merasuah anggota agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan terma­suk oleh nelayan asing menyebabkan mereka bebas bergerak di perairan negara.

Sumber itu memberikan contoh, terdapat satu kes yang mana sebuah bot nelayan Vietnam ditahan kerana memasuki perairan negara ini secara haram tetapi seminggu selepas itu, sebuah jabatan kerajaan mengeluarkan surat mengatakan bot tersebut dijemput masuk untuk memasang Sistem Pengesan Vesel (VTS).

“Logiknya sudah pasti terdapat unsur rasuah dalam kes ini sehingga bot berkenaan yang secara nyata melakukan kesalahan ‘dilindungi’ oleh jabatan berkenaan.

“Contoh paling mudah ialah kita mesti mendapatkan visa sebelum pergi ke Amerika Syarikat. Ini bermakna visa itu perlu dipohon sebelum berlepas, bukannya selepas memasuki negara itu," ujarnya.

Selain itu, kata beliau, ada bot yang ditahan sepatutnya hanya layak memperoleh peruntukan diesel bersubsidi sebanyak 22,000 liter tetapi apa menjadi persoalan apabila dibenarkan membawa sehingga 60,000 liter diesel dengan kelulusan agensi berkaitan.

Katanya, perbuatan rasuah juga boleh berlaku semasa pendaratan ikan melibatkan subahat antara pegawai yang bertugas di jeti dengan nelayan.

''Mereka bersubahat memalsukan kandungan bil tunai hasil tangkapan laut bagi tujuan menipu untuk mendapatkan kuota minyak diesel bersubsidi,'' katanya.

Tambah sumber itu, bagi memastikan sindiket sentiasa dalam keadaan dilindungi, ada ketua anggota agensi penguat kuasa yang menerima sogokan dibekalkan dengan telefon satelit bagi tujuan komunikasi supaya mereka segera dilepaskan jika ditahan pasukan operasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment