My Add

Monday, 23 June 2014

Mahu suburkan budaya membaca al-Quran

KUALA LUMPUR, AHAD 22 Jun, 2014: Empat wakil negara yang mengungguli Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 malam tadi berazam untuk terus menyuburkan budaya membaca serta menghayati al-Quran terutama dalam kalangan generasi muda.

Mereka turut memuji usaha kerajaan menganjurkan majlis tilawah berkenaan bagi memperkasakan kesatuan, perpaduan dan kesepakatan ummah.

Ahmad Tirmizi Ali, 29, yang muncul johan qari kategori tilawah berkata, kemenangan itu menambahkan lagi semangatnya untuk mendidik masyarakat menerusi pusat pengajian Akademi al-Quran At-Tirmizi di Shah Alam yang diasaskannya sejak setahun lalu.

Qari dari Dungun, Terengganu yang merupakan juara rancangan realiti televisyen, Akademi al-Quran musim keempat itu bagaimanapun mengakui tidak menjangkakan kejayaan tersebut berikutan saingan sengit peserta dari Turki, Indonesia dan Filipina.

"Rancangan saya selepas ini ialah untuk meningkatkan lagi usaha menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat khususnya golongan muda," katanya kepada pemberita selepas acara penutupan dan pengurniaan hadiah majlis tilawah berkenaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Empat peserta Malaysia mengungguli majlis tersebut yang berlangsung selama enam hari bermula 16 Jun lalu apabila muncul johan bagi semua kategori dipertandingkan.

Dalam pada itu, johan qariah bagi kategori tilawah, Hanimzah Jalaluddin, 32, yang menjadikan keluarga dan penduduk kampung sebagai pendorong pembabitannya dalam bidang berkenaan bersyukur kerana persiapan rapi dilakukannya membuahkan hasil.

"Untuk sampai ke tahap ini bukan senang. Antara persediaan yang saya lakukan ialah memperbaiki mutu bacaan dengan memperbanyakkan latihan dari semua sudut merangkumi suara, lagu, tajwid dan fasohah," kata peserta berasal dari Raub, Pahang itu.

Sementara itu, Mohd. Ersyad Abdullah, 19, yang diumumkan sebagai johan hafiz bagi kategori hafazan yang julung kali dianjurkan serentak dengan majlis tilawah berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat baginya untuk terus mendalami ilmu al-Quran.

"Terima kasih kepada ibu, ayah dan guru-guru saya yang memberi semangat untuk cemerlang dalam bidang ini. Saya merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir bagi mendalami ilmu al-Quran," kata peserta dari Kedah yang mengikuti pengajian sistem pondok itu.

Bagi johan hafizah kategori hafazan, Noorhafizah Mohd. Shafie, 19, pula, kejayaan tersebut menguatkan lagi semangatnya untuk berbakti sebagai seorang guru al-Quran di Maahad Al Itiqan Ampang, Selangor.

Noorhafizah merupakan anak ketujuh daripada 13 beradik dengan sembilan daripada mereka merupakan penghafaz al-Quran.

"Kita kena bersungguh-sungguh dalam semua perkara yang dilakukan, insya-Allah akan dipermudahkan jalan," katanya mengenai rahsia menghafaz 30 juzuk kitab suci berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment