My Add

Monday 2 June 2014

Mara buka jalan untuk PKS

Oleh SAHARUDDIN MUSTHAFA

JAKARTA, AHAD 01 Jun, 2014: Peluang pemain-pemain perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran Indonesia pada masa depan semakin terbuka luas menerusi penubuhan PT Konsortium Global Utama (PT KGU).

PT KGU yang akan menjadi pusat setempat akan membuka jalan kepada usahawan-usahawan PKS di Malaysia untuk meluaskan perniagaan mereka di Indonesia.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Indonesia, Zuliana Haslinda Anhar Zubir (gambar) berkata, penubuhan PT KGU direalisasikan ketika sekumpulan usahawan PKS bumiputera berkunjung ke Jakarta baru-baru ini dalam rangka misi pemasaran.

Menurut Zuliana, dalam misi perniagaan itu, usahawan-usahawan berkenaan turut mendapat dorongan daripada Ikatan Saudagar Muslim Indonesia (ISMI) yang menyarankan penubuhan konsortium itu bagi melancarkan urusan perdagangan antara dua pihak.

"ISMI menawarkan pelbagai bentuk kerjasama dagangan dan tawaran yang dibuat pula memberikan manfaat yang sangat besar kepada usahawan-usahawan SME di Malaysia.

"Justeru penubuhan konsortium ini diharapkan akan membuka jalan yang lebih luas kepada usahawan-usahawan SME di Malaysia untuk meneroka pasaran yang sangat besar di Indonesia," kata Zuliana kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, ahli jawatankuasa sementara PT KGU menggabungkan usahawan-usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan.

ISMI diasaskan oleh pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Muhammadiyah yang matlamat utamanya ialah membuka ruang perniagaan kepada umat Islam di negara yang mempunyai kepadatan penduduk melebihi 234 juta orang.

ISMI memiliki rangkaian perniagaan yang cukup besar menjangkau ke semua 33 wilayah di republik tersebut dan kerana itu pelbagai produk khususnya yang berteraskan halal diperlukan untuk dipasarkan di Indonesia.

Zuliana berkata, ISMI telah menyuarakan minat mereka untuk bekerjasama dengan usahawan-usahawan SME Malaysia membawa masuk produk-produk yang diperlukan.

Minat ISMI untuk menjalin kerjasama perniagaan itu jelas Zuliana, adalah disebabkan kedua-dua pihak memiliki persamaan iaitu berteraskan perjuangan Islam dan Melayu.

"Ini yang Mara sifatkan sebagai usahawan Melayu baharu iaitu mereka yang akan meneroka pasaran yang lebih luas di luar negara. Peranan Mara hanya membantu menemukan mana-mana usahawan bumiputera yang memiliki minat dan kesungguhan dengan rakan strategik," kata Zuliana lagi.

Menurut Zuliana, Mara hanya bertindak selaku penyelaras misi perniagaan itu dengan menemukan usahawan-usahawan SME dengan ISMI serta badan-badan yang berkaitan dengan proses perdagangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment