My Add

Monday 23 June 2014

Minta bantuan JKM jika tidak mampu jaga anak OKU

KUCHING, AHAD 22 Jun, 2014: Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) dinasihat meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya mereka tidak mampu menjaga anak istimewa itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah itu adalah lebih baik berbanding mengabaikan tanggungjawab dan amanah terhadap anak-anak berkenaan.

Katanya, kementerian beliau menyediakan pelbagai jenis saluran bantuan untuk semua golongan termasuk OKU.

"Walaupun JKM berpendirian tindakan menghantar golongan OKU ke institusi yang disediakan merupakan pilihan terakhir, jika ada ahli keluarga yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab tersebut, kita bersedia untuk menerima dan membantu mereka.

"Apabila golongan berkenaan dihantar ke institusi kerajaan, kita akan berusaha membantu menjaga mereka dengan sebaik mungkin misalnya Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang diwujudkan khusus untuk membimbing pelatih OKU hidup berdikari," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Makan Malam Selami Kasih dan Apresiasi Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti (STB) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Timbalan Pengarah (Persekutuan) JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengetua STB negeri, Armisy Basri.

Mengenai Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah flat di Nilai, Negeri Sembilan semalam, Rohani memberitahu remaja itu akan ditempatkan di salah sebuah Taman Sinar Harapan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu selepas menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun kejadian melibatkan kanak-kanak OKU terbiar sering dilaporkan berlaku, ibu bapa masih berdiam diri dan enggan tampil memohon bantuan.

"Alasan malu untuk melaporkan kepada JKM tidak boleh diterima kerana hanya akan menyebabkan nasib anak-anak itu terus terabai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau juga menyarankan agar kajian kes secara terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kanak-kanak terbiar sebelum tindakan diambil terhadap ibu bapa mereka.

"Sekiranya terdapat bukti mencukupi pengabaian terhadap kanak-kanak OKU tersebut, penjaga yang berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-kanak 2000," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment