My Add

Monday, 23 June 2014

Rebut ganjaran pahala Ramadan

Oleh HERMAN HAMID dan MOHD. FAIRUZ YUSOF

 * NAJIB Tun Razak (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau dalam Parlimen Pekan sempena kedatangan bulan Ramadan di Pekan, semalam. Sebanyak 58 masjid dan 151 surau menerima sumbangan tersebut. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
PEKAN, AHAD 22 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru umat Islam merebut ganjaran pahala di bulan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi dengan memperbanyakkan amal ibadat terutama bersedekah.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu seperti sabda Rasulullah SAW bahawa sedekah yang paling afdal adalah di bulan Ramadan.

"Maka banyakkan amalan sedekah dan kebaikan lain di bulan Ramadan seperti yang dituntut agama.

"Insya-Allah kalau kita buat ibadat dengan penuh keikhlasan maka Allah akan memberi rahmat keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

"Semoga Allah memberi kesempatan dan kesihatan untuk kita jalankan ibadat Ramadan dengan sempurna," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan di Dewan UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan sumbangan berjumlah RM1,200 untuk setiap masjid dan RM800 bagi surau di Parlimen Pekan sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Menurut beliau, jumlah tersebut adalah tambahan RM200 berbanding tahun lalu dengan keseluruhannya melibatkan 209 masjid dan surau.

"Selain itu, kita turut menyumbangkan barangan keperluan seperti kurma, air minuman, teh, kopi dan gula.

"Biro Agama UMNO pula menyumbangkan kain jubah untuk setiap jawatankuasa masjid di seluruh negara yang bakal disampaikan sedikit masa lagi," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Najib berkata, penduduk di Parlimen Pekan bertuah kerana dengan izin Allah mereka diwakili oleh Perdana Menteri sebanyak dua kali dan ini merupakan sebahagian sejarah negara.

Menurut Najib, ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong setiap Rabu, kelihatan dua keping gambar dengan yang pertama adalah gambar ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bersama Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah manakala sekeping lagi adalah gambar beliau dengan baginda pada posisi yang sama.

"Itu merupakan secebis sejarah, semuanya adalah takdir yang menentukan dan saya tak dapat bermimpi perkara ini boleh berlaku.

"Dalam sejarah Malaysia amat sukar perkara seperti itu berulang, dapat Yang di-Pertuan Agong dua pusingan dengan dua generasi sebagai Perdana Menteri, namun itulah yang terjadi.

"Maka jagalah sejarah kita ini supaya kita terus mendapat manfaat daripada apa yang Allah SWT tentukan, mudah-mudahan ini semua memberi rahmat kepada kita," katanya.

Tambah Perdana Menteri, sokongan padu penduduk Pekan merupakan kekuatan kepada beliau untuk mentadbir negara.

"Pekan merupakan tapak asas saya mentadbir negara sebagai Perdana Menteri, kejayaan dalam negara termasuk di Pekan adalah berkat kita bersama sebenarnya. Saya tidak boleh buat kerja tanpa sokongan anda semua," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment