My Add

Sunday 1 June 2014

Najib harap lebih banyak pelabur buka operasi

BEIJING, SABTU, 31 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lebih banyak pelabur China membuka operasi di Malaysia bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan pelaburan antara dua negara itu.

Menurut Najib, beliau telah berbincang perkara tersebut dengan rakan sejawatannya Li Keqiang semalam dan kedua-duanya bersetuju menggalakkan lebih ramai ahli perniagaan dari negara ini melabur di Malaysia.

“Pada masa ini, nisbah pelaburan Malaysia-China ialah 6:1. Malaysia berkedudukan tempat keenam dalam kategori Negara Mudah untuk Berniaga Bank Dunia dan tempat ke-12 dalam senarai negara yang kompetetif untuk melabur,’’ katanya ketika berucap dalam Forum Ekonomi Peringkat Tinggi China-Malaysia di sini hari ini

Forum tersebut disertai oleh ahli-ahli perniagaan Malaysia dan China dan sebanyak 11 memorandum persefahaman ditandatangani antara syarikat-syarikat China dan Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia telah menubuhkan beberapa jawatankuasa bersama bagi menggalakkan kerjasama antara ahli-ahli perniagaan kedua-dua buah negara.

Terbaharu, kata beliau, pembinaan Taman Perindustrian Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan yang akan memudahkan aktiviti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang baharu untuk pelabur dan usahawan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan beliau akan mengetuai jawatankuasa bersama khas bagi memastikan Pelan Strategik Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan berjalan sebagaimana yang dirancang.

Menurut Najib, pelan tersebut merupakan asas kepada kerjasama ekonomi untuk lima tahun akan datang dan menyediakan asas yang kukuh bagi hubungan ekonomi dua hala untuk dekad-dekad akan datang.

Sementara itu, pada sebelah malam, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan China-Malaysia di sini.

Dalam ucapannya, Najib berharap persahabatan rakyat dua negara itu akan terus berkekalan. -MINGGUAN

No comments:

Post a Comment