My Add

Sunday 1 June 2014

Pertikaian maritim perlu kaedah terbaik

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *  HISHAMMUDDIN Tun Hussein berjabat tangan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel (kiri) di Singapura, semalam. - REUTERS
KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Kebimbangan berhubung pertikaian maritim khususnya di Laut China Selatan tidak akan dapat diselesaikan secara baik dan menguntungkan jika negara-negara terlibat mengambil pendekatan membangkitkan kemarahan yang retorik serta saling menuduh antara satu sama lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertikaian berkenaan perlu diselesaikan secara saling menghormati dan amanah.

Beliau berkata, walaupun penyelesaian terhadap pertikaian itu mungkin mengambil masa, Malaysia yakin perkara tersebut dapat dicapai menerusi kesabaran, kebijaksanaan yang kolektif serta keberanian.

Jelasnya, Malaysia yakin kekuatan ASEAN adalah pengaruh yang menstabilkan rantau ini, malah banyak negara kini menyedari kepentingannya dan mahu melibatkan diri bersama ASEAN.

"Kita tidak perlu satu bentuk polisi pertahanan untuk ASEAN, tetapi kita sepatutnya bekerjasama ke arah mewujudkan dasar tentang isu penting seperti keselamatan maritim dan hubungan dengan kuasa besar. Dan kuasa besar ini pula perlu ikhlas memahami kita.

"Kita mesti mengutamakan keselamatan di rantau ini secara keseluruhannya. ASEAN perlu bersatu terhadap beberapa isu pertahanan dan tidak diheret ke arah hala tuju yang berbeza,'' katanya ketika berucap dalam Dialog Shangri-La di Singapura hari ini.

Sehubungan itu, jelas Hishammuddin, saluran komunikasi yang jelas perlu diwujudkan selain meningkatkan dasar sebagai satu kumpulan.

Beliau berkata, ASEAN juga perlu memperkukuhkan semangat 'Cara ASEAN' yang merupakan prinsip perundingan dan konsensus dengan membina keyakinan serta diplomasi bagi mengekang konflik di rantau ini.

Prinsip itu, menurut beliau, telah membimbing ASEAN untuk mengelak daripada suasana tegang selain menyumbang kepada keamanan dan kestabilan yang berterusan.

"Ancaman kini datang dalam pelbagai bentuk, daripada pelampau agama kepada pengganas siber. Dinamik baharu dalam landskap keselamatan global telah menjadi ancaman serius.

"Ini menuntut kita berfikir di luar kotak, menguji strategi lautan biru, khususnya bagi kepentingan keamanan dan kestabilan negara bangsa kita. Walaupun memajukan ketenteraan untuk kerjasama ketenteraan menjadi keutamaan, kita perlu sentiasa ingat bahawa kestabilan geopolitik juga didorong oleh kestabilan ASEAN dan rantau ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengambil contoh insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memperlihatkan sesebuah negara itu mampu mendapat manfaat jika membentuk kerjasama yang kukuh bersama negara lain.

"Malaysia berbangga menjadi perintis, menunjukkan dunia bahawa bekerja bersama-sama mempunyai manfaatnya. Kejadian MH370 mengingatkan kita menghargai ikatan sesama kita. Dalam insiden ini kita lupakan perbezaan," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment