My Add

Monday 23 June 2014

Sasar takraw raih emas Sukan SEA 2017

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
 
 * KHAIRY Jamaluddin melakukan aksi sepak takraw sambil diperhatikan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (depan, tiga dari kanan) dan Mohd. Noordin Abbas (empat dari kanan) semasa majlis pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC/Utusan 2014 di Alamanda Putrajaya, semalam. - UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD. NOR
PUTRAJAYA, AHAD 22 Jun, 2014: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyasarkan pasukan sepak takraw negara meraih emas pada penganjuran Sukan SEA 2017 nanti.

Menurut Khairy, sasaran itu akan dapat dicapai apabila sebuah program pembangunan khusus untuk mencapai matlamat tersebut dapat dibentuk.

Beliau berkata, penubuhan program pembangunan itu akan dibincangkan ketika mesyuarat diadakan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Selepas pemilihan PSM yang akan berlangsung pada Ogos nanti, saya akan duduk dengan kepimpinan sama ada yang baharu atau kekal dan kita akan berbincang mengenai program pembangunan khusus ke arah pingat emas itu. Kita juga akan berbincang dan melihat cadangan PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN), selepas itu kita gabungkan agar menjadi idea terbaik untuk dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2014 di pusat beli-belah Alamanda di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Pada masa yang sama, Khairy menggesa sektor swasta agar turut serta bersama kerajaan untuk memberi sumbangan membangunkan sukan sepak takraw di negara ini.

"Lihat sahaja bagaimana pencapaian Korea Selatan dalam sukan sepak takraw pada masa kini melalui sokongan yang diberikan oleh sektor swasta di negara tersebut. Mereka memberi sumbangan untuk pembangunan sukan tersebut biarpun sepak takraw bukan sukan tradisi negara itu," katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha yang dilakukan oleh Utusan Malaysia kerana mengambil inisiatif membangunkan sukan sepak takraw dengan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2014.

"Syabas diucapkan kepada Utusan Malaysia serta rakan strategik di atas penganjuran kejohanan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment