My Add

Sunday 22 June 2014

Sokongan padu beri kekuatan untuk saya tadbir negara - Najib

PEKAN, AHAD 22 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan padu daripada rakyat, terutama penduduk Pekan, memberi kekuatan kepada beliau untuk mentadbir negara selama ini.

Kata Najib, beliau tidak mampu untuk mentadbir negara ini bersendirian jika rakyat tidak bersama-sama bersatu dengan mengekalkan hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum.

``Kejayaan dalam negara kita termasuk di Pekan adalah berkat kita bersama sebenarnya. Saya tidak boleh buat kerja tanpa sokongan anda semua.

``Daripada sokongan inilah saya dapat semangat untuk terus memimpin negara,'' katanya ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau serta sumbangan baju raya kepada jawatankuasa badan bukan kerajaan Parlimen Pekan di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Ishak Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Abu Bakar Harun.

Najib berkata, perkara itu turut dibantu dengan jalinan hubungan baik beliau dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Katanya secara kebetulan ayahanda beliau Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua pernah mentadbir negara semasa Tuanku Abdul Halim memerintah negara dari 1970 sehingga 1975.

``Itu merupakan secebis sejarah Malaysia, semuanya takdir telah menentukan. Nak dapat Yang di-Pertuan Agong yang mendapat pusingan dua kali dan dua generasi sebagai perdana Menteri berkhidmat untuk berulang lagi dalam sejarah Malaysia, barangkali amat sukar tetapi inilah kuasa Ilahi,'' katanya.

Sementara itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, meminta rakyat yang berkemampuan supaya memperbanyakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan.

``Nabi (Muhammad SAW) bersabda, sedekah paling afdal adalah sedekah pada bulan Ramadan dan jika dilakukan dengan ikhlas ia akan memberi rahmat dan pembebasan daripada api neraka,'' katanya.

Dalam majlis berkenaan Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 58 buah masjid dan 151 buah surau di Parlimen Pekan.

Setiap masjid mendapat bantuan sebanyak RM1,200 manakala surau pula menerima RM800, iaitu tambahan RM200 daripada jumlah bantuan yang diberikan pada tahun lepas selain bantuan iringan seperti kurma, teh, susu, gula dan milo.

Selain itu Biro Kebajikan Umno turut menyumbangkan kain jubah kepada setiap anggota jawatankuasa masjid dan surau berkenaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment